Saya percaya 90% urusan dan hal ehwal rumahtangga di bawah kawalan seorang isteri. Mana yang mempunyai ramai anak bertambah-tambah lagilah skop mereka.

Bermula perihal dapur hingga ke persekolahan anak yang setiap darinya mempunyai pelbagai perkara lagi.

Kerana itu saya setuju bahawa apabila ada quotes mengatakan, “women is multitasking”. Boleh melakukan pelbagai kerja walaupun seorang diri. Cuba kita serahkan sedikit hal-hal rumahtangga ini kepada si suami. Apa yang bakal terjadi ? Ya, lagi huru-hara jadinya kan. Hebatnya wanita ini yang Allah ciptakan.

Tekanan Melanda…

Apabila sudah banyak perkara yang perlu diurus dan difikirkan tentulah tekanan akan menjelma. Lebih tertekan apabila kita sendiri merasa diri sendiri tidak terjaga. Bukan tak nak menjaga, tapi tak sempat ! Wah, begitulah sibuknya menteri hal ehwal rumahtangga ini.

Oleh itu, saya berbesar hati ingin kongsikan beberapa kaedah yang membantu mengurangkan tekanan dalam menguruskan hal rumahtangga di bawah ini. Pesan saya, tak perlu ‘stress’ kerana kerja-kerja menguruskan keluarga ini tak akan pernah habis. Bertenang selalu.

1) Belajar untuk ‘let go’

Pejam mata dan jangan fikirkan segala kekusutan yang memberikan kita tekanan itu. Lepaskan segala apa yang dipendam tanpa ada satu ingatan pun untuk diingat.

Walaupun kadangkala tugas menguruskan anak-anak dan suami amat memenatkan terutama bagi ibu-ibu yang bekerjaya, luputkan segala masalah itu dengan belajar untuk memaafkan dan ‘let go’.

Campak segala yang membelenggu benak hati dan fikiran itu jauh-jauh dan halakan fikiran kepada hal-hal yang menggembirakan. Selalulah anggap apa yang kita hadapi ini adalah masalah kecil berbanding apa yang orang lain sedang hadapi, insha Allah jiwa akan tenang dan lega.

2) Meditasi dan Bernafas

Bagi sesetengah penganut agama Hindu atau yang lain, latihan yoga adalah terapi yang terbaik bagi menghalakan tekanan kita kepada titik sifar. Yoga banyak berhubung kait dengan latihan penafasan yang membantu badan untuk lebih bertenang. Jika tiada masa untuk melakukan latihan yoga ini, kita boleh melakukan latihan penafasan ataupun meditasi di rumah.

Lakukan penafasan terarah melalui tarikan nafas melalui hidung dan lepaskannya melalui mulut sebanyak 7 kali. Apabila kita melakukan penafasan ini, gas oksigen dapat disalurkan ke otak dan keseluruh anggota badan. Hasilnya segala hormon dalam anggota badan akan lebih bertenang atau relax. Apabila fungsi dalaman badan telah bertenang, halakan fokus kita kepada perkara-perkara yang mententeramkan. Selamat datang pada hidup tanpa tekanan atau stress-free.

3) Latihan Olahraga / Body Exercise

Kadangkala tekanan yang kita hadapi akan membuatkan badan kita semakin lesu. Apatah lagi dalam menguruskan anak-anak kecil yang baru mengenal dunia ini. Bersepah sana sini dan berkejaran sesama mereka. Jika tak cukup stamina memang boleh pengsan! Justeru itu, lakukanlah sedikit senaman atau olahraga bersama-sama keluarga pada waktu petang atau hujung minggu walaupun ianya sekadar bersiar-siar di taman.

Pakar saintis mengatakan bahawa, senaman atau exercise mampu membantu mengawal dan meningkatkan tahap perasaan atau mood seseorang. Lebih banyak melakukan aktiviti fizikal seperti berjogging, berjalan kaki atau gimnasium akan menghasilkan mood yang baik. Ini juga salah satu cara untuk mengatasi masalah kemurungan mahupun kelesuan buat semua ibu-ibu.

4) Manjakan Diri Sendiri

Kebanyakkan daripada kita merasakan terapi yang terbaik untuk keluar daripada zon tekanan ini ialah dengan memanjakan diri ke salun atau spa kecantikkan.

Apa kata kita luangkan masa sebulan sekali untuk meluangkan masa bagi diri sendiri dibelai dan dimanjakan di sana. Lakukanlah rawatan urut jika perlu untuk mengembalikan tenaga dan kesegaran tubuh agar diri kembali segar.

Lebih menggembirakan jika semua rawatan itu ditanggung oleh si suami. Kita berhak untuk diberi perhatian juga kan ?

5) Makanan Berkhasiat

Selain latihan fizikal yang dilakukan, ambillan pemakanan yang berkhasiat dan bernutrisi tinggi juga membantu mengurangkan tekanan menguruskan keluarga. Apabila pengambilan makanan yang betul diambil, tubuh akan mendapat semua khasiat yang diperlukan bagi proses pembakaran kalori. Hasilnya kita akan mendapat tidur yang lena dan badan kembali segar dan bermaya untuk melakukan rutin harian tersebut.

a) Makanan berkarbohidrat tinggi seperti roti gandum/whole grains, nasi, buah-buahan seperti pisang dan ubi dapat membantu memberi tenaga yang mencukupi bagi tubuh dan otak.

b) Pengambilan kalsium dapat mengurangkan kerisauan dan tekanan bagi sesetengah kajian di luar negara. Kita boleh dapati kandungan kalsium ini samada pada susu, sayuran ataupun soya.

c) Ambilan Omega-3 yang banyak terdapat pada ikan dapat membantu mengekalkan tahap hormon tekanan kita di paras yang terkawal. Selain ikan, zat ini juga boleh didapati pada kekacang ataupun bijirin.

6 ) Tambahkan Aktiviti Anak-Anak

Anak-anak memang fitrahnya suka bermain. Apatah lagi apabila sudah mempunyai kawan dan hobi tertentu. Oleh itu, apakata kita tambahkan aktiviti anak-anak ini dengan menghantar mereka ke kelas tambahan atau after-school programs.

Melalui cara ini, setiap tenaga mereka dapat disalurkan kepada aktiviti-aktiviti yang kita sudah tahu manfaatnya daripada hanya bermain secara sendiri di rumah. Ianya secara tidak langsung akan memberi ruang kepada kita untuk melakukan kerja-kerja rumah yang tergendala dan juga memberi kita waktu rehat.

7 ) Wujudkan Kumpulan Sosial Anak

Percayalah setiap apa yang kita hadapi adalah sama seperti ibu-ibu yang lain. Memberi sokongan dan motivasi antara satu sama lain merupakan salah satu elemen untuk kita berada di dalam tekanan sifar. Sokongan ini kita boleh dapati melalui sokongan kumpulan kejiranan, tempat kerja, NGO mahupun kumpulan sosial anak seperti playgroup. 

Walaupun ianya hanya sekadar kata-kata sokongan dan perkongsian, ianya sudah cukup buat diri kita bersemangat dan rasa setiap apa yang dihadapi dikongsi bersama. Bak kata pepatah,’berat sama dijinjing, ringan sama dipikul’.

Berada di dalam komuniti yang betul mampu menjadikan rakan-rakan yang lain sebagai pembakar semangat kita untuk menjadi lebih baik dalam menguruskan keluarga selain dapat mengeratkan silaturrahim sesama kita.

Sesungguhnya, setiap daripada kita adalah bersaudara.Pilih untuk hidup lebih sihat dengan membuang segala tekanan yang ada. Kita semua berhak untuk hidup bahagia tanpa tekanan. Selamat maju jaya !

Teacher Ayu dari Excel Qhalif Playgroup

Pin It on Pinterest

Shares
Share This