Ramadhan sudah semakin hampir. Tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk kita menyediakan anak-anak untuk menyambut kedatangan Ramadan, bulan yang barokah. Berikut adalah beberapa idea untuk membantu menjadikan ia Ramadhan yang istimewa pada tahun ini.

1. Adakan mesyuarat keluarga tentang Ramadan


Seminggu sebelum Ramadan, digalakkan untuk mengadakan mesyuarat keluarga untuk menjelaskan tentang Ramadan. Jelaskan kepada si cilik apabila kita melihat anak bulan ia menandakan permulaan bulan Ramadhan seperti mana yang umat Islam lakukan dan bagaimana jadual keluarga akan turut berubah. Dapatkan persetujuan bersama dan cadangan daripada semua ahli keluarga akan apa yang akan dilakukan sepanjang bulan ini. Buat perancangan untuk satu bulan berkat ini. Sebagai contoh, waktu pilihan untuk bersahur, makanan pilihan untuk bersahur, tempat untuk berbuka puasa atau pilihan surau/masjid untuk bertarawih dan lain-lain.

2. Raikan kedatangan bulan Ramadhan dengan hiasan rumah yang menarik
Raikan kemeriahan “Ramadan Mubarak” dengan hiasan-hiasan yang menarik dan meriah seperti belon, sepanduk dan jadual semak amalan yang besar. Libatkan anak-anak untuk membantu menghiasi rumah supaya mereka merasai kegembiraan dan tertunggu-tunggu dengan kehadiran Ramadhan.

3. Beritahu cerita Ramadan sebelum tidur setiap malam
Jangan hanya bergantung kepada buku-buku kanak-kanak berkaitan Ramadan untuk bercerita tentang bulan istimewa ini dengan si pintar cilik. Kongsikan kepada anak-anak kita bagaimana pengalaman kita berpuasa semasa kita masih kecil. Ibubapa juga boleh mereka beberapa cerita berserta perancangan dengan anak anda sebagai watak utama dalam pengembaraan di bulan Ramadan nanti!

4. Membuat dan menghantar kad Ramadan buatan sendiri
Oh, tentu menarik jika sebelum bulan Ramadhan bermula, kita duduk bersama anak-anak untuk membuat kad Ramadhan Mubarak. Sediakan kad itu untuk adik-beradik, datuk nenek, ibu saudara, bapa saudara, guru-guru dan kawan-kawan. Hantar kad tersebut walaupun masa yang suntuk. Ia pasti sesuatu yang mengujakan !

5. Membuat “goody bag” Ramadan untuk rakan-rakan mereka
Sekiranya anak anda masih di tadika atau sekolah rendah, dapatkan kebenaran guru mereka untuk membuat ‘goody bag’ Ramadan Mubarak. Isi dengan gula-gula, kurma, kismis, mainan kecil dan kad kecil menjelaskan dalam dua atau tiga ayat yang pendek tentang Ramadan. Dan biarkan anak-anak untuk mengedarkan kepada rakan-rakan mereka di tadika/sekolah mereka supaya mereka sama-sama merasai kehangatan Ramadhan.

6. Membuat perkongsian mengenai Ramadan dalam kelas mereka
Beri juga galakan kepada anak-anak untuk selalu berkongsi cerita dengan rakan-rakan mereka tentang perkara-perkara menarik tentang Ramadhan. Ia sekali gus akan menyebarkan kemanisan sambutan Ramadhan sesama anak-anak cilik.

7. Membuat kraf sempena Ramadhan di rumah
Kraf adalah cara yang bagus untuk menerangkan dengan lebih mudah tentang Ramadan. Ajak anak-anak membuat bentuk bulan yang berbeza-beza. Tunjukkan bagaimana bentuk permulaan bulan, yang mana satu tengah dan mana yang akhir. Boleh juga buat kolaj atau dekorasi beberapa makanan kegemaran mereka untuk berbuka puasa. Oh lebih menarik lagi jika ibubapa boleh menyediakan buku aktiviti sepanjang bulan Ramadhan. Ia akan memudahkan pemantauan perkembangan anak-anak sepanjang bulan mulia ini.

8. Rancang satu perjalanan keluarga untuk melihat anak bulan
Mahu pengalaman yang lebih istimewa? Apabila kanak-kanak memakai baju tidur mereka, bawa mereka ke dalam kereta dan ajak mereka untuk menyaksikan anak bulan Ramadan. Lakukan perkara yang sama pada akhir bulan ini. Lebih menarik jika membawa teleskop atau binokular.

9. Jemput rakan-rakan anak-anak untuk Iftar bersama-sama
Biarkan anak-anak anda menyenaraikan senarai tetamu dan menu pilihan mereka. Juga, minta mereka menyediakan beberapa makanan istimewa. Kita boleh memilih beberapa resipi mesra kanak-kanak atau mereka boleh membantu dengan menyediakan juadah berbuka puasa yang tidak memerlukan mereka untuk menggunakan dapur atau memotong dengan pisau. Tentu ia satu aktiviti kekeluargaan yang menghiburkan!

10. Jemput datuk nenek atau ahli komuniti lebih tua untuk Iftar bersama
Setelah semua orang selesai berbuka puasa, menarik jika ada sesi bercerita di mana tetamu boleh berkongsi pengalaman bagaimana mereka melalui Ramadan semasa di zaman kanak-kanak. Ceritalah pengalaman berbeza-beza pada zaman dahulu, di negara lain juga bagaimana pula mereka menyambut Ramadhan, apakah jenis makanan yang mereka makan untuk berbuka? Bagaimana mereka berbuka puasa? Apa aktiviti menarik sepanjang Ramadhan dan lain-lain lagi. Kanak-kanak memang suka mendengar cerita dan bertanya soalandi luar kotak.

11. Membuat buku skrap untuk Ramadan ini
Mengambil banyak gambar ketika semua orang sedang bersahur tentu sangat menghiburkan. Tidak ketinggalan gambar-gambar kemeriahan ketika berbuka puasa, ketika letih berpuasa, bertadarus, bertarawih dan macam-macam lagi. Jadikan satu buku skrap untuk Ramadhan kali ini. Letakkan pelekat dan hiasan yang menarik sebagai satu kenangan seumur hidup untuk anak-anak kita.

12. Ingat golongan miskin
Rancang bersama anak-anak untuk menjadi sukarelawan di dapur beberapa jam pada hari Sabtu atau Ahad. Sediakan makanan untuk berbuka puasa khusus untuk golongan kurang berkemampuan. Bawalah si comel untuk menghantar makanan dan menyantuni golongan miskin. Berikan banyak dorongan untuk anak-anak suka bersedekah dan membantu mereka yang kurang berkemampuan di bulan Ramadhan.

13. Beri dorongan meskipun mereka berpuasa separuh hari
Kanak-kanak teruja untuk berpuasa apabila mereka melihat ibubapa dan adik-beradik yang lebih tua melakukannya. Tahun ini, beri galakan untuk mereka berpuasa selama beberapa jam semampu yang mereka boleh. Jangan lupa sediakan juga “Iftar” khas untuk mereka dengan beberapa makanan kegemaran mereka sebagai satu penghargaan dan sokongan.

14. Pasangkan lagu-lagu Ramadhan
Apabila kanak-kanak bermain atau terlibat dalam beberapa aktiviti riadah santai, mainkan beberapa lagu Ramadan yang indah yang boleh menyemarakkan lagi semangat Ramadhan dalam diri anak-anak. Mungkin kita boleh meminta anak-anak untuk menghafal satu dua lagu Ramadhan untuk penghayatan bersama-sama.

15. Membawa mereka untuk iftar dan solat Tarawih
Tiada ada cara paling mudah untuk mengajar semangat komuniti kepada si cilik selain solat berjemaah di surau atau masjid. Biasakan anak-anak kita untuk berbuka puasa di surau atau masjid, juga bawa mereka untuk solat fardhu berjemaah dan solat Tarawih supaya mereka merasakan mereka adalah sebahagian daripada entiti masyarakat. Selain itu, bekalkan sedikit duit untuk merek biasakan diri bersedekah ketika berada di masjid mahupun surau.

Anak-anak yang belum baligh tidak diperintahkan untuk berpuasa. Namun demikian ibubapa sangat digalakkan untuk mendorong anak-anak untuk mula berpuasa sedari kecil agar mereka terbiasa melakukannya apabila menginjak dewasa. Dan supaya mereka mengetahui bahwa ibadah puasa Ramadhan merupakan salah satu kewajiban yang diperintahkan Allah SWT. Ibadah puasa sebenarnya memberi pengaruh positif terhadap emosi anak-anak. Terutamanya mengajar mereka untuk bersabar dan prihatin dengan kesusahan orang lain.

Demikian beberapa tips untuk menyemarakkan lagi kemeriahan sambutan bulan Ramadhan yang penuh dengan segala macam keberkatan. Selamat mencuba, semoga bermanfaat. Dan, jika anda mempunyai tips lain yang menarik, silalah kongsikan lain-lain tips yang menarik untuk manafaat bersama. Ramadhan Mubarak!

*****

BERITA BAIK : Sesi ‘Trial Class’ Playgroup  (untuk anak 20 bulan hingga 4 tahun sahaja). Beri peluang anak anda merasai pengalaman manis dalam sesi kelas bersama kami. Anak bakal didedahkan dengan interaksi sosial yang sihat, perkembangan yang membantu kemahiran motor halus/kasar serta aktiviti belajar sambil yang meransang minda mereka. Klik link banner di bawah untuk mendaftar

Pin It on Pinterest

Shares
Share This