Sejak akhir-akhir ni, saya dapat banyak soalan daripada ibu bapa yang bertanyakan tentang isu anak lambat bercakap ataupun dikenal sebagai speech language delay. Pertama sekali, saya ingin puji ibu bapa, Tahniah kerana anda ambil berat dan alert tentang perkembangan pertuturan anak. Antara soalan yang saya kerap dengar,
“Teacher, anak saya dah dua tahun, tapi tak bercakap lagi.”
“Anak saya suka main sorang-sorang, macam mana saya nak ajar anak bercakap”
Saya kongsikan jawapan saya di sini agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai ibu bapa di luar sana. Anak berusia dua tahun tapi masih belum menggunakan perkataan. Hal yang pertama perlu kita selidik adalah, adakah anak itu mempunyai vokab yang mencukupi untuk mula bercakap?
Menurut kajian, anak berusia 1 tahun sepatutnya telah memahami lebih kurang 50 perkataan; usia 3 tahun 1000 perkataan dan pada usia 5 tahun, anak sepatutnya telah memahami lebih kurang 10,000 perkataan. Kajian juga mengatakan, anak perlu mempunyai sekurang-kurangnya 50 perkataan yang difahami sebelum anak bersedia menghasilkan satu perkataan pertama. (Shipley & McAfee, 2015)
Jadi, adakah anak anda telah mempunyai vokab yang mencukupi untuk mula bercakap? Apa yang saya selalu tekankan adalah STIMULASI BAHASA DI RUMAH. Tanggungjawab ibu bapa sekarang adalah untuk memberi INPUT BAHASA atau VOKAB kepada anak. Input Bahasa atau vokab ini saya umpamakan seperti kita menabung. Saya selalu gunakan istilah TABUNG VOKAB. Sama juga seperti kita menabung syiling, dalam kehidupan seharian kita menabung sedikit demi sedikit, lama lama ia akan penuh. Dan apabila tabung penuh, syiling tersebut akan mula keluar dari tabung satu per satu dan akhirnya keluar melimpah. Sama juga seperti tabung vokab. Apabila tabung vokab itu telah penuh, ia akan keluar melimpah.
TABUNG VOKAB adalah inventori perbendaharaan kata atau perkataan yang difahami oleh anak. Contoh, dalam sehari kita bercakap dengan anak dengan target nak ajar 5 perkataan baru, dan esoknya tambah lagi 5 perkataan baru dan begitu juga untuk hari hari seterusnya.
Untuk ajar perkataan baru, saya sarankan ibu bapa gunakan Teknik 4S (Say less, show, stress, Go Slow) yang pernah dikongsikan oleh Teacher Ayu sebelum ini (https://www.excelqhalif.com/2019/09/07/teknik-4s-untuk-bantu-anak-bertutur-di-rumah-sa).
Tapi perlu diingat juga, untuk tambah vokab, tidak semestinya kita sebut sekali, anak terus boleh tangkap, faham dan ingat. Apa yang penting adalah ibu bapa bagi input, ulang, ulang dan terus ulang supaya anak dapat faham dan ingat vokab tersebut.
“Macam mana nak ulang teacher? Nak sebut perkataan tu berulang ulang kali ke? Saya takut anak bosan kalau saya ulang banyak kali”
Ulang tak bermaksud kita ulang sebut perkataan tersebut banyak kali pada waktu yang sama. Ulang bermaksud kita aplikasikan dan gunakan perkataan tersebut dalam interaksi harian dengan anak.
Saya berikan contoh untuk kita ulang dengan menggunakan teknik Self Talk dan Parallel Talk. Pada pendapat saya, teknik ini adalah teknik yang paling mudah untuk ibu bapa aplikasikan di rumah.
1. SELF TALK
Teknik ‘self-talk’ dilakukan apabila kita bercerita tentang apa yang sedang kita lakukan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh anak. Self-talk boleh dibuat pada bila bila masa, tak perlu pun spesifik aktiviti yang memerlukan ibu bapa dan anak duduk di meja untuk table task. Kita boleh ceritakan pada anak tentang apa yang sedang dilakukan, apa yang kita nampak, dengar, bau dan rasa. Mudah saja kan? Saya bagi contoh situasi supaya lebih jelas.
Situasi di bilik air, semasa mandikan anak.
“Jom mandi”
“Ibu nak buka air”
“Ibu tuang air”
“Sejuknya air”
“sejuknya tangan ibu”
“sejuknya Ali”
Dalam contoh di atas, saya target untuk ajar perkataan “air” “sejuk”, dalam contoh skrip di atas, nampak kan saya ulang perkataan target beberapa kali. Dan gunakan perkataan-perkataan ini dalam kehidupan dan interaksi harian dengan anak!
Sebenarnya ada banyak lagi vokab yang boleh kita ajar semasa mandikan anak. Antaranya ialah, sabun, gosok basuh, wangi, anggota badan, lap, bersih, kering dan banyak lagi.
2. PARALLEL TALK
Parallel-talk adalah teknik yang digunakan apabila kita bercerita tentang apa yang anak sedang lakukan. Ibu bapa boleh komen tentang apa yang sedang anak main seperti contoh di bawah.
Situasi: Anak sedang bermain kereta mainan.
“Wah Ali ada kereta”
“Main kereta”
“Kereta biru vroom vroom vroom”
“Tolak kereta”
“Kereta laju”
Teknik parallel-talk ini boleh diaplikasian atau dibuat bila bila masa sahaja untuk komen setiap perkara yang anak sedang lakukan. Tapi, perlulah gunakan bahasa yang mudah untuk difahami oleh anak iaitu tidak terlalu panjang dan sesuai dengan level anak. Contoh, untuk anak berumur 1-2 tahun, gunakan 2 hingga 3 perkataan dalam satu ayat. Untuk anak 3-4 tahun, gunakan 4 hingga 5 perkataan dalam satu ayat. Ini juga bagi menjawab soalan yang di atas tadi, anak suka main sorang-sorang. Jika anak suka bermain seorang diri, ia tetap tidak menjadi halangan untuk kita sebagai ibu bapa ajar anak bercakap. Ibu bapa tetap boleh memberi stimulasi bahasa kepada anak untuk menambahkan tabung vokab anak.
Mudah saja kan? Saya percaya ibu bapa pasti boleh buat di rumah. Tambahan pula pada musim PKP sekarang kebanyakan ibu bapa bekerja dari rumah. Jadi jangan lupa untuk bagi input bahasa kepada anak anda. Teruskan menabung vokab anak tau!
Biodata Penulis
Nur Amirah : Terapis pertuturan merupakan graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang pertuturan & bahasa. Berperanan mengendalikan kelas Terapi Individu (one to one) dan juga Playgroup Anak-anak Bekeperluan Khas (EQPX) di Excel Qhalif Shah Alam
*****
Untuk info lanjut, boleh klik link atau gambar di atas.
www.excelqhalif.com/early-intervention-programme