Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Sejak kebelakangan ini ramai antara ibubapa yang menghubungi saya dan bertanya tentang perbezaan playgroup dan taska. Saya pasti masih ramai ibu bapa di luar sana berkerut dahi bila sebut tentang playgroup. Rata-rata akan menjawab “Ohh ianya macam taska atau nursery lah yer Teacher Ayu?” Tambahan pula had umur bagi program playgroup ini bermula dari 2 tahun hingga ke 4 tahun sahaja.
Secara ringkasnya, program kami ini dikategorikan sebagai medium peralihan masa pembelajaran anak dari taska ke tadika. Mungkin diagram di bawah ini boleh jelas difahami apa yang saya maksudkan.
Sudah menjadi kebiasaan pada setiap fikiran ibu bapa bahawa peringkat pertama dan ketiga pada diagram di atas merupakan peringkat penting dalam pendidikan anak-anak. Malah boleh dikatakan wajib menghantar pada kedua-dua peringkat tersebut. Peringkat pertama pula kadangkala menjadi satu ‘keperluan’ utama bagi sang ibu yang bekerja.
Saya tidak mengatakan cara ini SALAH malah ianya adalah cara terbaik bagi memenuhi tuntutan kehidupan moden masa kini. Jika dahulu, ramai juga rakan saya yang tidak bersekolah tadika sebelum memasuki darjah 1 dan apatah lagi berada di alam taska. Kekanggan masa serta desakan ekonomi pada masa kini antara faktor penyumbang terbesar ‘kebiasaan’ ini.
Berlainan dengan zaman dahulu, anak-anak mendapat lebihan masa terutama dari si ibu kerana tidak bekerja malah membuatkan mereka semakin intim dan memahami satu sama lain. Kini, hadirnya playgroup ini bagi membantu anda mewujudkan ruang dan kualiti masa seperti anda alami di zaman kecil dahulu. Masakan kita berikan anak kita kurang dari apa yang kita perolehi dahulu ? Oh, pasti tidak dan saya tidak rela ! …getus mereka.
Ayuh bersama-sama saya kongsikan antara kebaikan yang ada dalam program kami.
PLAY and GROUP
Rakan & Kawan – Pastinya kami mengumpulkan beberapa kanak-kanak untuk menghasilkan sebuah kumpulan yang kecil. Maksimum 15 orang dalam setiap 1 sesi. Kebaikkannya : Mengikut kajian, sikap untuk bersaing akan membuat seorang yang pemalu menjadi berani dalam sekelip mata. Anak-anak akan terdorong untuk aktif sama dalam setiap aktiviti di dalam kelas kerana sifat tersebut. Kami terapkan budaya bersaing secara sihat dan saling kerjasama antara satu sama lain. Kadangkala kita terpaksa umpan anak-anak dengan pelbagai perkara supaya mereka ingin belajar di rumah. Tetapi tidak di playgroup. Anda akan lihat sendiri apabila mereka berlumba-lumba untuk membuat hasil kraf yang terbaik dan menjadi yang pertama menjawab soalan!
Ibu bapa – Kenapa perlu ada ibu bapa turut serta sekali ? Itulah kelainan di dalam playgroup kami. Anda berpeluang untuk turut serta bergembira di dalam kelas bersama si kecil. Inisiatif ini agar anda boleh melihat sendiri perkembangan dan kecenderungan minat si manja anda. Kami wujudkan suasana seperti anda berada di dalam bilik belajar di rumah anda sendiri ! Kebaikkannya: Anda akan lihat di setiap aktiviti yang berjaya mereka hasilkan, pastinya pujian yang mereka mendambakan. Cantik tak Iman lukis ni Ibu ? Lebih manis jika kita boleh bagi TEPAT pada waktunya bukan? Segmen inilah antara faktor yang mengutuhkan lagi nilai kasih sayang antara anda sekeluarga. Selain anak anda dapat belajar anda juga memperoleh hujung minggu yang berkualiti setelah penat bekerja.
Guru – Kewujudan saya sebagai guru adalah sebagai titik TUMPU bagi anak anda. Ini bagi melatih anak anda untuk sentiasa FOKUS dan menuruti dalam setiap arahan. Apabila mereka patuh dalam setiap arahan dari guru, secara tak langsung mereka mula belajar bagaimana menghormati orang sekeliling mereka. Walaupun cukup anda sebagai guru mereka di rumah tetapi lebih berkesan jika ditambah dengan ‘role’ seorang guru bagi pendedahan awal mereka terhadap tadika kelak. Kebaikkannya: Oleh kerana sesi playgroup kami berlangsung dalam keadaan yang menyeronokkan, ini merupakan salah satu petanda awal yang boleh kita beri kepada mereka bahawa tadika itu juga menyeronokkan! Pengalaman saya, jangan terkejut bila anak yang mengajak anda ke sekolah pula. Selamat tinggal ‘trauma’ tak nak pergi ke sekolah.
Itulah antara 3 komponen penting yang membezakan playgroup secara keseluruhannya. Sudah pasti anda ingin berikan yang terbaik bagi mereka. Jadi, berikanlah mereka ruang dan peluang yang ada ini. Kadangkala bukan ukuran bayaran tinggi yang melambangkan bagus serta berkualiti sesuatu sistem persekolah itu, tapi peruntukkan nilai KUALITI MASA dan KASIH SAYANG pada mereka adalah lebih utama.
Salam hormat dan salam kasih sayang dari saya.
******
Sehubungan dengan ini juga, saya dan pihak Excel Qhalif berbesar hati ingin menjemput Tuan/Puan dan si manja anda ke Kelas PERCUMA ALIMkids Playgroup pada Ahad ini. Setakat ini hanya tinggal 1 tarikh sahaja lagi untuk pendaftaran percuma ini iaitu pada 13hb Nov 2011. Setiap kelas kami hanya terhadkan 15 orang sahaja. Rebutlah peluang dan alamilah sendiri kehangatan playgroup ini. Ibubapa dan si manja yang berusia dari 2 tahun ke 4 tahun dijemput hadir. Klik banner di bawah untuk ketahui jadual, lokasi dan berdaftar. InsyaAllah, panjang umur kita jumpa lagi dengan perkongsian lain pula. Terima kasih dari saya.