Assalamualaikum dan salam sejahtera,
Salam penuh kebahagian kepada semua pembaca yang budiman sekalian. Pastinya anda dalam keadaan untuk menyesuaikan diri dengan alam pembesaran anak-anak anda. Apa yang penting buat masa ini perlu adalah SABAR.
Saya faham, untuk membesarkan anak-anak yang masih kecil terutama bagi ibu-ibu yang bekerja, sifat sabar sangat penting. Malah menjadi pengubat semulajadi yang terbaik. Jika kita imbau kembali, bagaimana penuh sabarnya kita berdoa ke hadrat Ilahi bagi mengurniakan kita cahayamata, ianya juga menuntut kesabaran malah juga keikhlasan. Alhamdulilah, bila doa dikabulkan, bermulalah alam mengandung menjengah kehidupan kita. Ianya amat baru malah sangat baru bagi ibu-ibu yang pertama kali hamil. Pantang ada maklumat berguna untuk diamalkan dalam alam kehamilan, pastinya dimuat turun di Internet ataupun disimpan rapi.
“Mak, Ina mengandung !”, pastinya khabar gembira ini cepat sampai ke telinga ibu anda. Ibu anda tentunya gembira bukan kepalang mendengarnya, sementelah ianya merupakan cucu sulung baginya. Bermulalah juga pesan ataupun petua yang patut anda amalkan sepanjang kehamilan dinasihatkan berulang kali. Barulah anda tersedar rupanya, alam kehamilan ini sangat penting dan perlu perhatian terperinci setiap bulan. Fuhhh…keluh anda. Banyak juga ya nak buat dan ingat. Sabar, sabar bisik suami anda memberi kata semangat.
Allah itu Maha Hebat ciptaanNya lagi Maha Mengetahui. Setiap satu ciptaanNya sangat halus dan tiada tandingan. Seperti proses kehamilan ini juga. 9 bulan itu merupakan waktu yang sempurna bagi membentuk seorang insan. Tumbesaran bayi pula tumbuh sedikit demi sedikit dan secara peringkat oleh sang Pencipta. Jika dikaji secara sains, proses kehamilan ini dipecahkan kepada beberapa peringkat iaitu peringkat awal kehamilan, pertengahan dan akhir kehamilan.
‘Conception’ biasanya berlaku dalam tempoh 24 jam selepas ovulasi, kira-kira 14 hari sebelum kedatangan kitaran haid anda. Telur dan sperma bertemu di lapisan ketiga tiub Folopio ( Fallopian tube) dan mengambil masa selama 7 hingga 10 hari seterusnya untuk sampai ke rahim. Apabila telur berjaya disenyawakan, ianya akan diimplan di dinding rahim anda yang kaya dengan zat. Serta-merta isyarat kimia akan dihantar kepada badan anda bahawa kehamilan telah berlaku. Kitaran haid anda juga terhenti.
Di bulan pertama kehamilan anda, ‘chorionic villi’ terbentuk bagi menyokong implan anda.Kemudian, the ‘Yolk sac’ akan terbentuk bagi menyokong kehamilan anda sehingga plasenta terbentuk sepenuhnya. Bulan seterusnya, adalah proses penting kerana perkembangan janin berkembang. Embrio terbentuk dan anda anda merasa degupan jantung bayi anda. Sangat menakjubkan!
Bagi yang mengalami alahan di waktu pagi ataupun ‘morning sickness’ di awal kehamilan, menahan sabar sangat penting. Itu menandakan perubahan fisiologi bagi sang ibu. Apabila merasa bayi anda mula menendang perut anda, aduh sakitnya…Tapi demi anak yang dikandung, si ibu tetap sabar. Begitulah seterusnya sehingga menghitung hari kelahiran bayi anda. Tanpa kesabaran yang tinggi pasti tak akan lahir seorang insan dimuka bumi ini.
Kerana itu juga sifat sabar ini patut dikekalkan dalam setiap proses pembesaran anak-anak anda. Sikap dan karenah mereka akan berubah-ubah mengikut peningkatan usia mereka. Mungkin dulu, mereka tidak boleh bertutur, jadinya banyak ekspressi mereka dilakukan dengan menangis. Bila sudah pandai bercakap, mulalah berbagai-bagai soalan ‘cepumas’ yang mereka tanyakan. Pastinya akan membuatkan anda ketawa riang dan juga boleh rimas dan penat melayan dengan soalan tanpa henti daripada mereka. Bagi mereka, andalah ensiklopedia hidup mereka. Jadi, sabar juga perlu dituntun sehinggalah akal mereka boleh berfikir secara logik.
Justeru itu, nikmatilah masa-masa berharga ini bersama si manja anda dengan penuh sabar. Jangan mudah mengalah dalam memberi penerangan dan jawapan terbaik kepada mereka. Hilangkanlah kerut di dahi mereka tatkala menanyakan sesuatu persoalan. Jadikanlah sabar teman terbaik anda dalam menguruskan hidup anda sekeluarga. Dihujungnya anda akan menikmati kemanisan kesabaran dengan terbentuknya anak anda menjadi insan cemerlang di dunia mahupun akhirat .
Insha’Allah dan semoga berjumpa lagi.