Apa khabar ibubapa semua hari ini ? Diharapkan sihat hendaknya terutama walaupun sekarang ini adalah minggu peperiksaan buat kebanyakkan anak-anak kita.
Rata-rata ibubapa yang bekerja akan pulang awal daripada pejabat semata-mata untuk memperuntukkan masa dalam mengajar dan memeriksa ulangkaji anak-anak. Ada juga yang tertekan atau stress dengan karenah anak-anak.
Perlu diingatkan walaupun mereka yang didepan mata kita itu adalah anak kandung kita, ia bukanlah tiket untuk kita bebas menyuruh mereka melakukan perkara yang kita ingini dengan paksaan dan kekerasan.
Air muka dan maruah mereka perlu dijaga walaupun dikalangan adik-beradik di rumah terutama buat si anak gadis.
Berikan mereka pilihan
Kebanyakkan daripada kita membuat pilihan bagi pihak anak-anak tanpa kita sedari. Contohnya pilihan daripada memilih waktu ulangkaji pelajaran mereka. Cara terbaik adalah memberi mereka pilihan untuk memilih, tetapi perlulah dihadkan pilihan tersebut.
Bagi ibubapa pula kita perlu hormat keputusan yang mereka pilih tersebut. Seperti contohnya, anak-anak memilih untuk memulakan ulangkaji pelajaran mereka pada pukul 8.30 malam, jadi hormati pilihan mereka dan berikan masa untuk mereka bertindak. Ini secara tak langsung melahirkan rasa hormat anak-anak kepada kita dan mendorong mereka secara sukarela untuk melakukan apa yang disuruh.
Terangkan ‘sebab dan akibat’ di kemudian hari
Walaupun kita lihat anak kita semakin membesar secara fizikalnya, tetapi tidak pada pemikiran mereka. Mengajar dan menyuruh anak lelaki mengulangkaji pelajaran memang agak liat dibandingkan dengan anak perempuan.
Secara fitrahnya memang begitu sikap mereka. Apa yang terbaik boleh kita lakukan, jika mempunyai anak lelaki yang malas untuk menelaah pelajaran terutama di musim peperiksaan ini, terangkan ‘sebab dan kesan’ yang akan terjadi sekiranya mereka gagal di dalam peperiksaan nanti.
Misalannya, ‘cuba abang bayangkan suasana apabila ingin mengambil keputusan peperiksaan nanti di sekolah. Nampak muka sedih atau gembira ?’. ‘Kalau tak buat betul-betul semasa periksa nanti, mestilah muka sedih Ibu.’ Nah, mereka mula sedar kesannya. Oleh itu, jangan putus asa untuk berusaha meningkatkan tahap kesedaran anak-anak kita. Apabila mereka sedar dan tahu akibatnya, adakah anda rasa mereka akan berdiam diri sahaja ? Jawapannya, sudah pasti TIDAK.
Ubahlah nada dan intonasi dalam menyuruh mereka
Kadangkala kita sebagai ibubapa tidak perlu meninggikan suara atau menjerit sekuat hati dalam usaha untuk anak-anak bertindak dan mendengar arahan kita. Cukup dengan nada dan arahan yang lembut dan tegas. “Ianya bukan apa yang kita cakap, tetapi bagaimana kita bercakap”.
Bayangkan jika kita disuruh dengan nada yang keras oleh sesiapa sahaja, tentunya reaksi kita akan menolak kepada arahan tersebut. Begitu juga anak anda. Walaupun mereka masih kecil tetapi hati mereka tetap merasai apa yang orang dewasa rasa. Oleh itu, mulakan hari ini dengan menukar nada dan cara kita menyuruh anak dengan lebih diplomasi tetapi berkesan.
Selamat maju jaya ! 🙂
– Teacher Ayu –