Kepada pasangan suami isteri yang bakal menimang cahaya mata, terlalu banyak perkara dan persediaan yang perlu dilakukan. Bermula daripada barangan bayi, bilik, kos rawatan, makana dan sebagainya.

Sebaik si ibu selamat melahirkan anak, maka bermulalah fasa baru dalam kehidupan suami isteri.

“Kebanyakan individu yang pertama kali bergelar ibu bapa, berasa cemas dan kelam-kabut dalam menguruskan bayi. Ini termasuklah cara penyusuan, menukar lampin dan memandikan bayi.

“Jika diperhatikan, ibu lebih berasa selesa dan selamat sekiranya orang lebih dewasa yang memandikan bayi mereka. Apatah lagi, jika tali pusat bayi masih belum tanggal,” jelas Jururawat Kaunselor Penyusuan Susu Ibu, Obstetrik & Ginekologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Norhayati Ahmad.

Tambah Norhayati, 44, yang berkhidmat selama dua dekad di pusat perubatan tersebut, antara tujuan utama membersihkan bayi adalah untuk memberi keselesaan, ketenangan dan mengelakkan infeksi kulit.

Proses mandian perlu dilakukan dengan cara yang betul dan selamat. Mengapa? Ia bagi mengelakkan bayi mengalami kecederaan yang tidak diingini seperti telinga dan hidung dimasuki air atau kulit bayi melecur.

Sebelum memandikan bayi, isikan air suam dalam bekas mandian. Periksa suhu kehangatan air tersebut dengan menggunakan siku. Jangan sesekali menggunakan air sejuk kerana ia boleh menyebabkan suhu badan bayi menurun atau hipotermia.

“Daya ketahanan bayi tidak kuat dan masih lemah. Jika dimandikan dengan air sejuk, ia akan membuatkan bayi terkejut, badannya menjadi biru dan juga berisiko mendapat penyakit sawan.

“Jangan memandang remah tentang proses mandian bayi. Selain menggunakan air suam, ibu bapa juga disaran supaya tidak memasang kipas dan membuka tingkap. Alasannya masih sama supaya bayi tidak berasa sejuk.

“Bukan itu sahaja, waktu yang paling sesuai untuk memandikan bayi pula, sekitar pukul 10 pagi dan pukul 5 petang,” jelas beliau.
Jangan biarkan bayi dalam keadaan bogel. Sebaik-baiknya bedung bayi menggunakan napkin atau kain khas supaya bayi tidak berasa sejuk.
Langkah pertama

Cuci muka bayi menggunakan kapas atau sapu tangan yang telah dicelupkan dalam air suam. Lap di bahagian mata terlebih dahulu.

Langkah kedua

Bersihkan kepala bayi. Kepit telinga bayi supaya tidak dimasuki air. Letakkan sedikit syampu dan gosok kepala bayi dengan lembut. Ketika proses ini juga, sikat rambut bayi supaya dapat menanggalkan lendir yang melekat.
Kemudian, keringkan rambut bayi sebelum proses membersihkan bahagian badan.
Langkah ketiga

Siram bayi sedikit demi sedikit. Gosok badan bayi dengan menggunakan sabun mandian bayi. Pastikan anda bersihkan di bahagian lipatan seperti leher, ketiak, paha, kaki dan punggung. Akhir sekali bilas bayi dengan bersih dan lap sampai kering.

Langkah keempat

Bagi bayi yang masih belum tertanggal tali pusat, anda perlu membersihkan tali pusat, sebelum memakaikan baju.

lap badan bayi hingga keringGunakan kapas bersih bersama air suam atau ubat cucian tali pusat. 

Bersihkan tali pusat dari atas ke bawah. Kemudian, lap di sekeliling pusat dan selepas itu bersihkan klip tali pusat.Pastikan tali pusat sentiasa kering dan bersih. Jangan sapukan tali pusat dengan sebarangan minyak, bedak, ubat atau pelembap yang tidak disarankan oleh doktor.

Selesai bayi dibersihkan, disapukan bedak dan losen serta dipakaikan baju, ibu diwajibkan menyusukan bayi. Ini kerana bayi akan berasa lapar selepas proses mandian.

Sumber : KOSMO

Teacher Ayu

Excel Qhalif PlaygroupPengasas dan pengajar di Excel Qhalif PlaygroupProgram yang memfokuskan jati diri anak dan kemahiran motor bermula seawal usia 20 bulan hingga 4 tahun setengah. Beliau percaya semua anak dilahirkan perlu diberi rangsangan kelima-lima deria mereka iaitu deria rasa, lihat, sentuh, hidu dan dengar dengan optimum sebelum minda intelektual mereka diprogramkan.

 

Pin It on Pinterest

Shares
Share This