Jaundis adalah masalah yang kerap berlaku dan lebih kurang separuh daripada bayi cukup bulan dan antara 80 hingga 90 peratus bayi pramatang atau lahir tidak cukup bulan, mengalami masalah jaundis.
Jaundis terjadi apabila tahap bilirubin yang lebih tinggi daripada normal. Bilirubin pula adalah bahan yang dihasilkan daripada pemecahan sel darah merah.
Selalunya ia bermula selepas hari pertama dan mungkin berterusan selama satu atau dua minggu. Ia juga lazimnya bermula daripada bahagian muka dan kemudian kulit dada, perut dan kaki, sekiranya tahap jaundis itu kian bertambah atau ketara.
Bayi yang berhadapan dengan jaundis yang sedikit bukanlah satu perkara berbahaya, ia tidak akan menyebabkan bayi kurang selesa dan biasanya akan hilang selepas dua minggu.
Bagaimanapun, jika tahap kuning tinggi ia boleh membawa bahaya seperti kecacatan otak atau pendengaran.
Cara paling mudah mengesan kuning ialah menekan kulit secara perlahan dengan jari. Jika kulit berwarna kuning kemungkinan besar bayi anda mengalami jaundis.
Jika masalah jaundis berterusan untuk lebih dua minggu, bayi berkenaan memerlukan pemeriksaan lebih terperinci.
Memang jaundis yang keterlaluan atau terlalu tinggi boleh menyebabkan komplikasi jika tidak ditangani sebaiknya. Misalnya kerosakan pada otak dan pendengaran. Namun, rawatan awal berupaya mengelak kemungkinan itu.
Bagaimana untuk tahu tahap jaundis yang bahaya?
- Kuning yang keterlaluan. Kuning seperti kunyit.
- Bayi tidur keterlaluan.
- Menangis dengan nada yang tinggi
- Tidak mahu menyusu
- Lemah dan tidak aktif
Kalau di hospital, bayi anda akan ditempatkan di bawah lampu biru. Lampu ini akan meninggikan proses penurunan bilirubin melalui proses penyingkiran bilirubin melalui buah pinggang.
Jika tahap jaundis terlalu tinggi bayi mungkin memerlukan penukaran darah. Proses ini agak rumit dan perlu rawatan rapi.
Tidak dinafikan, ramai ibu bapa mencuba rawatan alternatif atau tradisional seperti memberi susu kambing atau memandikan dengan air herba sebagai satu cara rawatan jaundis.
Sebenarnya, tidak ada analisis yang menunjukkan bahan itu dapat menurunkan tahap jaundis dan kadang kala mungkin menyebabkan masalah lain seperti cirit dan sebagainya.
Sumber : Berita Harian Online
Diterangkan oleh : Dr Azam Mohd Nor, Pakar Runding Pediatrik dan Kardiologi Pusat Perubatan Pantai, Bangsar.
———————————————————————————————————————————
Kenali Teacher Ayu dari Excel Qhalif
Beliau ialah pengasas dan juga tenaga pengajar di Excel Qhalif Playgroup. Program yang memfokuskan jati diri anak dan kemahiran motor bermula seawal usia 20 bulan hingga 4 tahun setengah. Beliau percaya semua anak dilahirkan perlu diberi rangsangan kelima-lima deria mereka iaitu deria rasa, lihat, sentuh, hidu dan dengar dengan optimum sebelum minda intelektual mereka diprogramkan.