Menghampiri penghujung tahun 2014, maka sudah ramai ibu bapa yang mula mencari-cari tadika terbaik untuk anak mereka bersekolah menjelang tahun hadapan. Kebanyakan ibubapa nampaknya lebih risau memilih tadika daripada sekolah rendah dan menengah.
Ini selari dengan pandangan Pengerusi Persatuan Tadika Malaysia (Badan Bukan Kerajaan yang ditubuhkan sejak 1972), Jayaswathi Perera yang mempunyai 40 tahun pengalaman dalam pengajaran prasekolah dan latihan guru-guru prasekolah, ibubapa perlu bersikap lebih berhati-hati dan memiliki ilmu dalam memilih pendidikan awal anak-anak. Semua ibubapa secara fitrahnya mahukan yang terbaik untuk pendidikan dan perkembangan anak-anak mereka. Bak kata Lao Tzu, “A Journey Of A Thousand Miles Begins With A Single Step”.
Adakah tadika yang yurannya mahal, kelengkapan serba moden, mengunakan medium Bahasa Inggeris dan silibus terkini merupakan kriteria terpenting pemilihan tadika yang terbaik? Sebelum membuat keputusan tadika mana yang menjadi pilihan anda untuk menyekolahkan anak anda, pastikan anda maklum tentang keperluan dan garis panduan yang telah diiktiraf oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Diharap garis panduan yang diberikan ini boleh dijadikan panduan berguna kepada semua ibubapa.
DERIA PENDENGARAN
Berbualah dengan pemilik tadika untuk memahami samada beliau benar-benar bersemangat dalam bidang awal kanak-kanak atau sekadar menjalankan perniagaan. Usah mudah terpedaya dengan hebatnya BRANDING atau MARKETING. Beri ruang untuk mendengar penjelasan beliau tentang pengalaman dan kematangan beliau dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
Ambil ruang juga untuk berborak-borak dengan guru-guru untuk menilai minat mereka dalam mendidik kanak-kanak prasekolah atau sekadar untuk makan gaji. Boleh semak bidang pengajian mereka. Menjelang 2020, semua pihak yang terlibat dalam pendidikan awal kanak-kanak perlu ada sekurang-kurangnya sijil/diploma dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Adalah baik sekiranya guru-guru sudah biasa dengan Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak mahupun Kursus Bantuan Kecemasan Untuk Kanak-Kanak. Berborak dengan guru-guru memberi ruang untuk ibubapa mendengar gaya bahasa yang guru-guru guna pakai, akhlak harian, penguasaan ilmu dan cara guru-guru mengendalikan anak-anak yang banyak karenah.
Usah abaikan pandangan daripada pihak lain atau ahli keluarga yang ada pengalaman dalam bidang pendidikan kanak-kanak prasekolah. Adakan musyawarah (perbincangan) yang membina. Juga ambil kira pandangan mereka yang pernah ada pengalaman menghantar anak ke tadika yang ingin kita pilih. Mungkin juga boleh minta pandangan daripada jiran tetangga yang berdekatan dengan tadika berkenaan. Paling baik adakan ‘spot check’, datang tanpa mereka bersedia untuk mendengar dari luar gaya pengendalian guru-guru semasa hari persekolahan biasa.
DERIA PENGLIHATAN
Ketika anda hendak mengetahui lebih lanjut tentang sekolah yang telah/ingin dipilih, bawalah anak bersama ke sekolah tersebut. Mohon kebenaran pemilik/guru besar tadika untuk membawa anak meninjau keadaan tadika tersebut dan beri kebebasan kepada anak untuk bertanya. Tunjukkan kelas, tempat bermain, tandas, papan putih, buku, modul dan lain-lain kepada anak. Semoga ibubapa dan anak mendapat gambaran yang lebih jelas tentang tadika tersebut.
Nilai sendiri cara perhubungan langsung antara guru dan anak-anak. Juga lihat sendiri berapa nisbah guru dan kanak-kanak di sekolah tadika. Seperti yang digariskan oleh KPM, nisbah guru kepada kanak-kanak ialah 1 guru kepada 25 orang murid prasekolah.
Perhatikan kebersihan dan keselamatan bangunan tadika. Nilai persekitan tadika yang dapat meransang perkembangan kanak-kanak. Pemilihan perabot yang bersesuaian dengan usia kanak-kanak yang masih aktif dan lasak juga perlu mengambilkira keselamatan kanak-kanak. Mengikut garis panduan JKM, keperluan keluasan ruang minimum adalah dengan kiraan 15 kaki per segi bagi setiap seorang kanak-kanak (tiada termasuk jalan lalu, stor, dapur, pejabat, tandas atau kakitangan).
Lihat kebersihan dapur, alatan memasak, bilik air dan ruang belajar di tadika. Pastikan ia sesuai untuk kanak-kanak dan bilik air yang selamat dan mudah dikendalikan oleh kanak-kanak.
Juga perhatikan aspek keselamatan di tadika seperti pencahayaan, tangga keselamatan, pintu pagar yang berkunci serta peraturan di tadika untuk ibubapa/ penjaga dan pelawat.
DERIA BAU
Jangan sesekali memandang ringan faktor bau dan peredaran udara. Pastikan bau dalam dan luar tadika yang menyenangkan ketika membuat lawatan awal ke tadika yang ingin dipilih. Faktor bau sangat berkait rapat dengan faktor kebersihan dan pengurusan sampah sarap. Kebersihan selalunya dikaitkan dengan kesihatan. Kebersihan penting untuk semua orang terutamanya kanak-kanak kerana kesihatan yang sempurna akan menghindarkan mereka dari jangkitan penyakit.
Setelah membuat penilaian pemilihan tadika melalui pendengaran, pemerhatian mata kasar dan musyawarah (perbincangan), bagi ibubapa yang berugama Islam, kita tidak boleh menafikan kuasa doa, solat dan istikarah. Hatta sekecil-kecil urusan pemilihan tadika untuk anak-anak.
Sebagaimana sabda Rasullullah SAW :
“Apabila sesiapa daripada kalangan kamu diberatkan dengan sesuatu maka hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (iaitu, mengerjakan solat dua rakaat) yang selain daripada solat yang fardhu. Kemudian hendaklah dia berdoa: Ya Allah, aku beristikharahkan Engkau (iaitu memohon pilihan dan kebaikan daripada-Mu) dengan ilmu-Mu, dan aku memohon kurniaan kuasa dengan kuasa-Mu, dan aku juga memohon daripada kemurahan-Mu Yang Maha Agung. Engkaulah yang Maha Menetapkan sedangkan aku tidak mampu untuk menetapkan. Engkau Maha Mengetahui dan aku pula tidak mengetahui. Engkaulah yang Maha Mengetahui akan perkara-perkara yang tersembunyi. Ya Allah, jika pada ilmu-Mu sesungguhnya urusan ini adalah baik bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku, maka tetapkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku. Kemudian, berkatilah bagiku di dalam pilihan ini. Dan andai kata pada ilmu-Mu sesungguhnya hal ini adalah buruk bagiku pada agama, kehidupan dan kesudahan urusanku, maka hindarkanlah ia daripadaku dan hindarkanlah aku daripadanya. Tetapkanlah bagiku kebaikan dan jadikanlah aku redha dengannya.” (Riwayat Bukhari)
Rujukan :
- Garispanduan Pengendalian Kanak-Kanak Di Taska Dan Prasekolah (JKM Julai 2007)
- Jabatan Kebajikan Masyarakat (http://www.jkm.gov.my)
- Majalah Pa&Ma Bilangan 146 (November 2012)
====================================
BERITA BAIK: Sesi ‘Trial Class’ Playgroup Kini DIBUKA. Beri peluang anak anda merasai pengalaman manis dalam sesi kelas bersama kami. Anak bakal didedahkan dengan interaksi sosial yang sihat, perkembangan yang membantu kemahiran motor halus/kasar serta aktiviti belajar sambil yang meransang minda mereka. Klik link banner di bawah untuk mendaftar