Topik mengenai keselamatan diri kanak-kanak semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia. Kesedaran mengenai keselamatan diri kanak-kanak semakin meningkat di kalangan ibubapa dari hari ke hari. Namun demikian, kesedaran sahaja tidak mencukupi. Ibubapa perlu belajar mengenai keselamatan diri kanak-kanak bagi membekalkan mereka dengan ilmu keselamatan diri yang dapat membantu melindungi diri mereka setiap masa.

Dikongsikan 13 tips pendedahan ilmu keselamatan diri untuk  kanak-kanak sewaktu dalam jagaan kita tak kira samada mereka di dalam mahupun di luar kawasan rumah ;

  1. Jika di rumah, pastikan pintu pagar sentiasa berkunci kerana seandainya anak anda bermain di luar dengan pagar tidak berkunci, mereka mudah untuk dilarikan.
  2.  Pesan pada anak-anak, jangan percaya pada individu yang tidak dikenali yang meminta pertolongan dan jangan benarkan mereka masuk ke dalam rumah.
  3.  Jika keluar rumah, galakkan anak-anak untuk mengecam laluan ke rumah, taska/tadika atau ke sekolah. Gambaran bangunan-bangunan, mercu tanda dan simbol jalan yang berulang kali dilihat secara tidak langsung akan terakam dalam minda mereka dan tersimpan sebagai memori kekal.
  4.   Jika anak anda gemar membawa beg ke mana-mana, masukkan maklumat perhubungan ibubapa seperti nombor telefon supaya senang untuk dihubungi.
  5.  Jangan sesekali meminta pertolongan kepada sesiapa sahaja yang anda tidak kenali ketika berada di luar rumah. Jangan sesekali meminta orang yang tidak dikenali untuk menjaga anak anda walaupun seketika.
  6.  Jika berada di kawasan membeli belah, jangan tinggalkan anak anda di dalam troli sendirian ketika anda sibuk ke sana ke mari mencari barang keperluan. Pastikan tolak troli tu bersama anda setiap masa.
  7.  Pesan pada anak anda jika didatangi oleh orang yang tidak di kenali dengan mempelawa gula-gula atau mainan, pastikan mereka menolaknya dan terus memberitahu ibubapa dengan segera.
  8.  Jika di dalam kenderaan, sesekali uji minda anak-anak dengan memberi peluang kepada mereka untuk menjadi ‘tour-guide’. Minta bantuan mereka pula menjadi juru pandu arah ketika dalam perjalanan dari rumah ke taska/tadika dan begitu juga sebaliknya. Latihan ini bagus untuk menguji ingatan dan keyakinan anak-anak untuk mengecam laluan rutin.
  9.  Kenalkan anak-anak dengan nombor telefon ibu, ayah atau penjaga. Ajar mereka menulis nombor telefon itu berulang kali. Sebut juga berulang-ulang kali supaya mereka boleh mengingati nombor-nombor tersebut dan sekali-sekala uji pula hafalan mereka.
  10.  Ibubapa tidak digalakkan untuk meninggalkan anak-anak di dalam kenderaan tanpa pemantauan orang dewasa lebih-lebih lagi dalam jangka masa yang lama. Walau bagaimana pun, ada keadaan-keadaan yang tidak mampu untuk dielakkan. Buat simulasi, ajar dan ingatkan berulang kali kepada anak-anak untuk cepat-cepat mengunci pintu dari dalam kenderaan apabila ibu atau ayah keluar dari kenderaan. Dan jangan pula lupa untuk mengajar anak-anak bagaimana untuk membuka kembali kunci kenderaan.
  11.  Tekankan juga pada anak-anak supaya jangan sesekali membuka pintu kenderaan walaupun berulang kali dipujuk oleh orang yang tidak dikenali.
  12.  Pada masa yang sama, kenalkan anak-anak dengan fungsi hon kenderaan. Buat demonstrasi cara-cara penggunaan hon kenderaan. Dan yang paling penting, ingatkan mereka untuk mengunakannya hanya ketika berdepan keadaan kecemasan.
  13.  Senjata kanak-kanak yang tidak kurang hebatnya adalah ‘jeritan’ dan  ‘gigitan. Pastikan mereka hanya mengunakan 2 senjata ini dalam keadaan yang benar-benar terdesak jika mereka benar-benar memerlukan. Sesekali boleh buat demonstasi menjerit.

Keselamatan kanak-kanak adalah tanggung-jawab kita bersama. Semoga dengan sedikit persedian yang kita buat boleh menyelamatkan anak-anak kita daripada sebarang kemungkinan di luar jangkaan.

====================================
BERITA BAIK : Sesi ‘Trial Class’ Playgroup  (untuk anak 20 bulan hingga 4 tahun sahaja). Beri peluang anak anda merasai pengalaman manis dalam sesi kelas bersama kami. Anak bakal didedahkan dengan interaksi sosial yang sihat, perkembangan yang membantu kemahiran motor halus/kasar serta aktiviti belajar sambil yang meransang minda mereka. Klik link banner di bawah untuk mendaftar

Pin It on Pinterest

Shares
Share This