Di artikel yang lepas, saya ada kongsikan beberapa teknik untuk ibu bapa beri stimulasi bahasa anak di rumah. Macam mana semua dah cuba? Kalau dah cuba, alhamdulillah teruskan lagi yang tambah tabung vokab anak.
Ramai ibu bapa yang tanya pada saya,
“Teacher, mainan apa yang sesuai untuk ajar anak?”
Sebenarnya, apa-apa mainan pun sesuai digunakan untuk ajar anak. Apa yang penting adalah apa yang kita ajar dan input yang diberi semasa bermain dengan anak. Hari ini saya nak share satu aktiviti mudah yang ibu bapa boleh buat di rumah untuk beri input bahasa kepada anak.
BUBBLE PLAY!!
Tahu tak dengan hanya menggunakan bubbles, banyak sangat input dan kemahiran kita boleh ajar tau! Nak tahu apa dia? Saya kongsikan di bawah antara 6 strategi yang ibu bapa boleh buat semasa bermain bubbles di rumah !
Tips dan strategi semasa bermain bubbles:
1. Galakkan anak untuk meminta
Selalunya kita terus saja bagi bubble kepada anak untuk main, kali ni kita tukar sikit strategi dengan cara ibu bapa pegang botol bubble tersebut. Untuk anak yang masih belum boleh meniup, kita boleh tunjukkan pada anak bubble dan tanya pada anak.
“Mama ada bubble”
Kemudian, tunggu dan lihat respon anak. Jika anak tidak respon, ibu bapa boleh tanya lagi,
“Ali, nak bubble?”
“Nak lagi?”
Dapatkan respon anak sebelum kita mula tiup, target supaya anak anggukkan kepala atau hulur tangan atau jawab “nak” “nak bubble” (bergantung pada tahap bahasa anak). Dengan cara ini, kita dapat wujudkan interaksi dua hala dengan anak.
2. Galakkan ‘eye-contact’ anak dengan menggunakan bubble
Semasa bermain bubble, ibu bapa boleh pegang dahulu bubble tersebut sebelum buka dan tiup. Tarik perhatian anak untuk membuat ‘eye contact’ dengan kita dan kemudian buka penutup bubble. Sebelum tiup, ibu bapa boleh kira terlebih dahulu “1, 2, 3, tiup” . Di sini, kita galakkan anak untuk melihat ibu bapa terlebih dahulu anak mengejar bubbles.
3. Beri stimulasi bahasa
Semasa aktiviti bermain bubbles, banyak input yang kita boleh bagi pada anak, antaranya dengan komen dan tambah vokab. Antara input yang boleh diberi semasa bermain bubbles adalah,
“Mama tiup bubbles”
“Banyaknya bubbles”
“Wah bubbles besar”
“Tengok atas, wah banyak bubbles”
“Tangkap bubbles”
“Ops, bubble pecah”
Semasa bermain bubbles juga, kita boleh ajar anak konsep seperti konsep saiz besar dan kecil. Sebelum tiup, boleh tanya anak sama ada nak tiup bubble besar atau kecil. Begitu juga dengan konsep atas dan bawah. Ibu bapa boleh dapatkan respon anak dengan menunjuk ke arah atas atau bawah sebelum tiup.
4. Galakkan kemahiran meniru
Kemahiran meniru adalah satu daripada kemahiran pra-pertuturan yang sangat penting sebelum anak mula lancar bercakap. Menurut kajian, anak mula meniru aksi atau pergerakan mudah seperti tepuk tangan, peek-boo dan menunjuk pada seawal usia 8 bulan. Kemahiran meniru ini bermula dari tiru pergerakan motor kasar (contoh: angkat tangan, tendang bola, gaya makan), kemudian motor halus (contoh: tiru pergerakan mulut seperti keluarkan lidah, cium, tunjuk gigi). Kemudian baru lah anak belajar meniru bunyi dan perkataan. Kanak-kanak belajar perkara baru dengan meniru apa yang dilihat dan didengar dari ibu bapa dan orang sekeliling.
Semasa bermain bubbles, ibu bapa boleh tunjuk bubbles dan pecahkan bubbles (kemahiran meniru motor kasar) dan sebut “pop” (kemahiran meniru bunyi). Galakkan anak untuk tiru membuat bunyi “pop” sambil pecahkan bubbles.
5. Latih anak kemahiran meniup
Meniup adalah salah satu kemahiran penting yang biasanya anak capai ketika berusia lingkungan 2 – 3 tahun. Aktiviti meniup melibatkan penggunaan otot mulut, lidah dan rahang. Anak yang belajar meniup akan dapat belajar menggunakan dan mengawal pergerakan otot mulut serta tekanan udara di dalam mulut.
Aktiviti meniup ini secara tidak langsung akan dapat melatih otot mulut dan lidah untuk membuat bunyi-bunyi pertuturan kelak. Jadi, saya amat galakkan ibu bapa untuk membeli bubbles yang perlu ditiup berbanding pistol bubbles yang anak hanya perlu tembak sahaja.
6. Ambil giliran untuk meniup
Jika anak dah pandai meniup, kita boleh ajar anak untuk ambil giliran untuk meniup bubble. Semasa ambil giliran, ibu bapa boleh terangkan pada anak
“Giliran Ali”
“Sekarang Daddy pulak”
Kemahiran mengambil giliran ini sangat penting untuk anak bercakap dalam komunikasi dua hala kelak.
Mudah saja kan, dengan satu aktiviti yang simple seperti ini kita boleh ajar anak pelbagai kemahiran bahasa dan pertuturan dengan teknik dan strategi yang betul. Saya pasti ibu bapa boleh cuba di rumah. Pada musim PKP atau Work from Home ni, Ibu bapa boleh cuba luangkan masa bermain dengan anak di rumah. Selamat mencuba!
Biodata Penulis
Nur Amirah : Terapis pertuturan merupakan graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang pertuturan & bahasa. Berperanan mengendalikan kelas Terapi Individu (one to one) dan juga Playgroup Anak-anak Bekeperluan Khas (EQPX) di Excel Qhalif Shah Alam
*****
Untuk info lanjut, boleh klik link atau gambar di atas.
www.excelqhalif.com/early-intervention-programme
Assalamualaikum,
Saya nak tau aktiviti utk anak speech delay. Anak saya 4 tahun tapi masih kurang bercakap.
Macam mana nak joint aktiviti di sini. Bagaimana dengan yuran penyertaan?
Terima kasih.