“Cakap nak susu. Nak susu.” – mama
“Nak susu.” – anak
Mungkin anda rasa seronok apabila anak anda mengulang apa yang anda katakan. Tetapi ibu bapa harus ingat bahawa menyuruh anak mengulang apa yang anda katakan tidak bermakna anak anda faham ayat atau perkataan tersebut. Anak juga tidak mampu menggunakan ayat yang disebut itu pada masa akan datang secara spontan. Anak hanya meniru apa yang anda katakan untuk mendapatkan barang yang dingini.
Untuk belajar perkataan baru, langkah pertama adalah untuk anak memahami perkataan tersebut. Apabila anak anda faham perkataan tersebut, mereka akan mampu menggunakannya di dalam konteks yang betul dengan sendirinya tanpa bantuan ibu bapa.
Apakah cara yang terbaik untuk membantu anak anda memahami perkataan baru dan membina kosa kota mereka?
Ada 5 rahsia yang akan saya kongsikan kepada ibu bapa untuk membantu anak anda.
AMBIL TAHU MINAT ANAK
Perkataan pertama anak-anak selalunya adalah sesuatu yang berjaya menarik minatnya dalam kehidupan seharian. Jika ibu bapa memerhati dan mengikut cara mereka bermain, ibu bapa akan dapat mengenal pasti minat anak-anak. Dan jika anda tunggu respons anak-anak, mereka akan cuba untuk berkomunikasi dengan anda tentang sesuatu yang berjaya menarik minat mereka. Ini akan memberi peluang kepada anda untuk menggunakan perkataan baru yang berkaitan dengan minat anak.
Sebagai contoh, jika anak memberi sesuatu mainan untuk bermain bersama, gunakan perkataan yang boleh menerangkan aktiviti tersebut. Jika anak anda menunjuk ke arah makanan, anda boleh menggunakan perkataan yang berkaitan dengan makanan dan kata kerja makan. Anak anda akan mampu belajar perkataan baru dengan cepat kerana mereka akan lebih bermotivasi apabila anda menggunakan minat mereka sebagai medium untuk mengajar perkataan baru.
TUNJUK KEPADA ANAK MAKNA PERKATAAN
Untuk membantu anak memahami perkataan baru, tunjuk kepada anak apa makna perkataan tersebut menggunakan aksi atau gerak isyarat. Anda boleh tunjuk objek sebenar dan memberitahu perkataan objek tersebut. Sebagai contoh, anda tunjuk burung di langit dan berkata, “Tengok burung itu!”. Ibu bapa juga boleh berlakon atau menjukkan aksi (contoh: bepura-pura menggigil kesejukan ketika memberitahu perkataan sejuk) dan pegang objek dan sebut perkataan tersebut (contoh: pegang kasut anak dan berkata, “Jom kita pakai kasut!”).
MENGULANGI PERKATAAN BARU
Anak-anak perlu mendegar perkataan baru dalam konteks atau keadaan berbeza untuk mereka memahami perkataan tersebut. Ibu bapa boleh cuba mengulang perkataan yang hendak diajar dalam rutin seharian mereka. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan perkataan ‘panas’ apabila berada di bawah matahari, ketika makan sup yang panas dan ketika mandi menggunakan air yang agak panas. Menggunakan perkataan yang sama dalam konteks atau keadaan berbeza membantu anak memahami perkataan baru dengan baik.
MENGGUNAKAN AYAT YANG PENDEK DAN MUDAH
Menggunakan perkataan tunggal dengan anak-anak adalah amat mudah untuk ibu bapa menerangkan kepada anak-anak. Tetapi, menggunakan perkataan baru dalam ayat yang pendek dan mudah akan membantu anak untuk memahami perkataan dengan lebih baik dan bagaimana hendak menggunakan perkataan tersebut. Sebagai contoh, jika anda hendak mengajar perkataan ‘panjang’, adalah lebih baik jika anda berkata “Panjangnya pensel ni!” berbanding hanya sebut “Panjang.” dan tunjuk ke arah pensel.
SENTIASA MEMBALAS USAHA ANAK UNTUK BERKOMUNIKASI
Ketika anak-anak belajar perkataan baru, mereka mungkin akan menggunakan perkataan pada konteks yang salah, salah sebut atau menggunakan gerak isyarat merujuk kepada perkataan tersebut. Apabila anak anda cuba berkomunikasi dengan anda, respons dengan cara seolah-olah mereka menyebut perkataan tersebut. Ini menunjukkan ibu bapa dengar akan apa yang mereka
Ms Hazirah, Speech Therapist Excel Qhalif 2021 katakan dan faham apa yang mereka cuba sampaikan. Dengan cara ini, anak-anak akan lebih
bermotivasi untuk cuba berkomunikasi dengan ibu bapa.
“Ianya tidak mengambil masa satu malam untuk anak belajar perkataan baru.”
Untuk belajar perkataan baru, berikan anak masa supaya mereka mampu memahami perkataan tersebut dan menggunakannya dalam konteks yang betul. Menggunakan tips di atas, anda mampu membantu anak anda untuk menambah kosa kata mereka dan ini adalah masa untuk menambah perkataan baru. Bantu anak anda dan jangan putus asa! Setiap kepahitan akan ada kemanisan di hadapan.
Untuk info lanjut, boleh klik link atau gambar di atas.
www.excelqhalif.com/early-intervention-programme