Tiada apa yang menggembirakan hati seorang Ibu melainkan melihat perkembangan positif anaknya depan mata sendiri. Terjawab kerisauan dan keraguan di benak fikiran yang merasakan pembelajaran selama 1 jam di kelas Excel Qhalif Playgroup cukup memberi impak yang besar buat si jantung hati.

Begini kisahnya…

Nasrullah atau nama panggilannya ialah Nas di dalam kelas dan keluarganya disahkan oleh Doktor Pakar Kanak-Kanak mempunyai ‘delay development‘. Jika anak di usia 3 tahun boleh melompat, berlari dan berkomunikasi dengan baik bersama rakan sebaya, tetapi tidak buat Nas.

Namun, itu kisah dulu. Hasil penyertaan dan keputusan tepat ibunya iaitu Puan Rohani bt Ariffin untuk mendaftarkan Nas ke program playgroup kami, pelbagai perkembangan positif yang ditunjukkan. Jika dahulu Nas sangat takut dengar bunyi yang kuat terutama daripada radio ataupun suara rakan-rakan menjerit, kini Nas tidak lagi.

Mengikut penelitian saya sebagai gurunya, ‘mood’ Nas sangat stabil. Jika anak normal yang lain, adakalanya ‘mood’ mereka lari, tetapi Nas sangat konsisten. Istimewanya anak ini, getus saya dalam hati.

Setiap usaha pasti ada hasilnya

Saya percaya semua perkembangan positif yang diperolehi ini adalah berkat usaha ibu dan bapanya yang tidak jemu secara konsisten hadir ke kelas terutama di 3 minggu awal kelas. Bagi saya waktu tersebut adalah waktu yang mencabar buat mereka dan itulah kenangan yang tidak ternilai buat kedua-dua ibubapa Nas.

Janji Allah itu pasti. Setiap yang berusaha pasti ada hasilnya. Begitulah kejayaan buat Nas. Walaupun sukar mereka tetap berfikiran positif yang suatu hari nanti anak mereka boleh sama hebat bersama anak-anak yang lain. Hari ini, Allah buktikan kekuasaan-Nya. Syukur alhamdulilah atas izin-Nya semuanya menjadi mudah.

Antara sikap yang saya patut puji buat Ibubapa Nas ialah, Ibunya sendiri sangat berfikiran positif yang mana mengambil langkah memberi pendedahan yang sama buat Nas seperti anak yang lain tanpa ‘menyorokkan’ masalah yang dihadapi anaknya. Ternyata pengorbanannya tidak sia-sia.

Saya doakan Nas terus maju dalam perkembangan intelektualnya dan menjadi salah seorang khalifah yang terbaik buat ibu dan ayah baik di dunia mahupun akhirat. Kami semua sayang Nasrullah !

Salam sayang,

Teacher Ayu

Pin It on Pinterest

Shares
Share This