“Kenapa anak saya boleh menyanyi, lagu ABC, ‘nursery rhymes’, semua dia tahu. Tapi tak pandai cakap”
Inilah antara soalan yang pernah diajukan oleh ibubapa kepada saya.
Hurmm.. sebelum saya cerita lanjut, saya perlu fahamkan di sini, bahawa komunikasi adalah hubungan 2 hala. Ia melibatkan proses menerima dan menyampai message, yang dipanggil komunikasi. Tidak kiralah komunikasi itu dalam bentuk verbal (bercakap atau bunyi) atau non-verbal (seperti tunjuk-tunjuk je).
Manakala menyanyi adalah proses satu hala je. Tambahan pula, jika dibiarkan anak kita belajar menyanyi di youtube atau gadjet. Macam kita nyanyi lagu Korea atau Hindustan tu. Tak semestinya kita fasih bercakap dalam bahasa tu, apatah lagi memahaminya. Tapi kita mampu mengafalnya. Haa.. itu yang hebat dengan nyanyian. Maka menyanyi dan bercakap adalah 2 perkara yang berbeza. Walaupun kedua-duanya mengeluarkan perkataan dan bunyi.
Tapi jika kena caranya, menyanyi boleh dijadikan medium yang berkesan untuk mengajar anak bercakap dan berkomunikasi dengan kita. Cuma olahkan aktiviti tu menjadi hubungan 2 hala. InsyaAllah, akan saya kongsi. Baca artikel ini hingga habis.
Pertama sekali, jika situasi ini berlaku, kita sepatutnya bersyukur banyak-banyak. Sebabnya sekurang-kurangnya anak kita boleh mengeluarkan perkataan. Bukan itu sahaja, malah boleh meniru bunyi yang mereka dengar dan menghafalnya. Ini adalah asas kemahiran bertutur.
Bagaimana aktiviti menyanyi membantu anak-anak bercakap?
Nyanyian adalah salah satu aktiviti yang paling menyeronokkan pada kanak-kanak. Kanak-kanak juga lebih mudah belajar untuk memahami dan mengingati sesuatu apabila arahan atau cerita dimasukkan unsur muzik seperti nyanyian. Selain itu, muzik juga didefinikan sebagai suatu kesenian yang tertumpu pada aspek pendengaran (Campbell 1995). Jadi, kanak-kanak akan lebih fokus untuk mendengar semasa aktiviti bernyanyi dan sekaligus membantu dalam perkembangan bahasa mereka.
Kelebihan Bernyanyi Bersama Anak.
- Pemahaman Perkataan
Bernyanyi dapat membantu untuk mengajar perkataan atau perkara baru kepada anak kerana mereka lebih memberikan tumpuan semasa nyanyian. Namun, ibu bapa perlu pastikan juga lagu yang dinyanyikan adalah bersesuaian dengan aktiviti yang dilakukan. Contohnya, lagu ‘Old MacDonald’ hendaklah dinyanyikan sambil menunjukkan haiwan yang dinyanyikan.
- Pengukuhan Pra-pertuturan
Selain itu, aktiviti bernyanyi juga membantu mengukuhkan kemahiran pra-pertuturan anak seperti tumpuan perhatian, ambil giliran serta pandangan mata. Sebagai contoh, anak akan menumpukan perhatian pada setiap lagu sehingga habis, jadi ibu bapa boleh menggunakan lagu yang semakin panjang untuk memanjangkan tumpuan perhatian anak.
- Kemahiran Meniru
Seterusnya, kemahiran peniruan aksi dan perkataan juga boleh diajar melalui aktiviti bernyanyi. Hal ini, kerana kanak-kanak berminat dengan aktiviti tersebut dan cenderung untuk turut melibatkan diri dengan mula meniru pergerakan dan bunyi dalam nyanyian.
Cara Bernyanyi Bersama Anak.
Antara cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk bernyanyi bersama anak adalah:
- Semasa melakukan sesuatu aktiviti, ibu bapa boleh mereka lagu dan bernyanyi.
Contohnya, aktiviti basuh anggota badan, lagunya mungkin berbunyi;
‘jom basuh, jom basuh, jom basuh tangan’.
.
Hanya reka apa sahaja lagu yang berkaitan dengan aktiviti yang dilakukan. Tekankan perkataan yang penting untuk pastikan anak faham apa yang mereka sebutkan. Ingat, kita bukan hendak mereka menghafal tapi juga memahaminya. 🙂
. - Ibu bapa hendaklah duduk berhadapan dengan anak untuk dapatkan padangan mata. (PENTING)
. - Semasa bernyanyi, ibu bapa hendaklah berhenti sebentar sebelum perkataan terakhir dalam lagu agar anak boleh menyambung lagu tersebut. Hal ini untuk membantu anak menumpukan perhatian dan meniru perkataan. Contohnya lagu ‘BINGO’:
B.I.N.G.O (ibu bapa nyanyi)
B.I.N.G.O (ibu bapa nyanyi)
B.I.N.G. (tunggu sebentar) O (anak sambung)
Kesimpulannya, menyanyi dan menarilah bersama anak anda, kerana ia adalah aktiviti yang mudah tapi memberi manfaat yang banyak pada anak kita. Semoga tulisan ini manfaat dan dapat diamalkan. Selamat mencuba.
Biodata Penulis
Nur Ayulis binti Abu Saamah, Terapis Bahasa-Pertuturan adalah graduan lepasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kini berkhidmat sepenuh masa di Excel Qhalif . Beliau merupakan sebahagian tenaga pengajar di kelas Excel Qhalif Playgroup Xtra dan sesi Excel Speech Program.
*****
Excel Qhalif Playgroup Xtra
Program ini direka eksklusif untuk anak-anak yang berkeperluan khas seperti autisme, speech delay, ADHD, ADD, global delay GDD, dyslexia mahupun down syndrome.Ia dijalankan secara intensif setiap hujung minggu (Sabtu & Ahad) di mana aktiviti yang dijalankan merangkumi teknik Terapi Carakerja (OT) dan Speech Program.
Antara objektif program ini adalah menjadikan ibubapa sebagai terapis yang berkesan kepada anak disamping menambah ilmu pengetahuan ibubapa yang terlibat. Program bukan sahaja teori, malah menekankan latihan dan amali bersama anak. Penerangan lanjut tentang program ini, boleh didapati di www.excelqhalif.com/excel-qhalif-playgroup-xtra.